KUALI | Resipi Tradisi

Ada rahsia sotong tak berair kalau masak sambal, mak mentua makan ‘confirm’ tak toleh kiri kanan!

Lead Image

SELAIN digoreng bersama kunyit, sotong juga sering dijadikan pilihan untuk masakan bertumis seperti sambal atau masak kicap.

Bagaimanapun tersalah langkah, kuah boleh jadi terlalu cair disebabkan sotong mengeluarkan air yang banyak apabila dimasak.

Bagi mengelak rasa kuah sambal itu rosak, rahsia memasak juadah tersebut adalah dengan merebus terlebih dahulu sotong secara berasingan bagi mengeluarkan airnya.

Tapi jangan rebus terlalu lama sebab sotong mudah keras dan liat.

MENARIK DIBACA: Tak ada bunga kantan nak masak asam pedas? Mak-mak boleh guna bahan ini sebagai pengganti

MENARIK DIBACA: Air berkarbonat dan buah laici naikkan rasa jus tembikai, bertambah ‘umph’ dengan perahan limau

Cubalah guna rahsia ini, pasti masak sambal sotong anda sedap dan tidak terlalu berair. Kalau hidangkan kepada mak mertua, percayalah anda lalu pun dia tak perasan.

Lebih-lebih lagi kalau campur dengan petai! Fuh, jawabnya mak mentua pun tak toleh kiri kanan. 

Kuali kongsikan resipi masakan sambal sotong petai. Selamat mencuba!

Bahan-bahan:

  • 300g sotong (bersihkan)
  • 200g isi petai (kira-kira lima papan petai)
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 1 sudu besar pes asam jawa
  • 4 sudu besar pes cili
  • Minyak masak (secukupnya)
  • Garam (secukup rasa)
  • Gula (secukup rasa)

Bahan kisar:

  • 6 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 tangkai cili merah
  • 2 inci halia muda
  • 2 inci belacan (pilihan)

Langkah penyediaan:

1. Masukkan sotong ke dalam kuali (tanpa air). Masak sehingga sotong menjadi kecut selama 2 hingga 3 minit sahaja. Tos dan ketepikan.

2. Panaskan minyak, goreng petai sehingga layu dan ketepikan.

3. Guna kuali dan minyak yang sama, tumis bawang besar dan masukkan bahan yang dikisar sehingga naik bau.

4. Masukkan pes cili bersama asam jawa dan kacau sehingga pecah minyak.

5. Masukkan petai dan sotong. Kacau sebati dan biarkan sehingga sotong masak.

6. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Kecilkan api sehingga masakan pecah minyak.

7. Angkat dan sedia untuk dihidangkan.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Resipi Tradisi

Daun pandan rahsia kacang hijau cepat empuk, kuahnya pula sedap berlemak  

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Resipi Tradisi

[V] Tak payah ikat perut sebab nak kurus, kerabu campur menu diet seimbang tapi mengeyangkan!

Terhangat