Wanita kongsi resipi sandwic telur 'legend' zaman kolej, rahsianya kicap dan mayonis
KENANGAN berkaitan makanan ketika zaman belajar sememangnya sukar dilupakan, lebih-lebih lagi jika menu itu sering menjadi 'penyelamat' ketika lapar.
Seorang pengguna Threads mengimbau kembali keenakan sandwic telur yang dijual oleh pelajar senior di kolejnya dan cukup digemari ramai.
Menurut wanita itu, sandwic berkenaan mempunyai rasa tersendiri sehingga membuatkan ramai pelajar ketagih dan sentiasa mencarinya setiap hari.
Tambahnya, selepas pelajar senior yang menjual sandwic tersebut tamat belajar, dia cuba menghasilkan sendiri sajian sama kerana terlalu merindui keenakannya.

Selepas beberapa kali mencuba, dia akhirnya menyedari satu bahan rahsia yang membuatkan sandwic telur tersebut menjadi luar biasa sedap iaitu kicap manis.
Menurutnya, 'inti' telur itu sebenarnya dibuat secara ringkas dan hanya menggunakan beberapa bahan asas.
MENARIK DIBACA: Sapu sikit minyak, rahsia kentang goreng rangup guna air fryer
MENARIK DIBACA: Papan pemotong pun ada jangka hayat! Ada sebab jangan guna jenis plastik lebih daripada
"Telur hancur dimasak atas non-stick pan dengan sedikit minyak. Lepas siap masak telur, masukkan mayonis agak-agak hingga nampak sebati.
"Tambah serbuk Ajishio white pepper sebelum gaul adunan sehingga rata.
"Dalam minda kena 'set' rasa telur separuh masak campur kicap tambah white pepper tu," kongsinya.
Seterusnya adalah langkah paling penting iaitu memasukkan sedikit kicap manis ke dalam telur dan mayonis tersebut.

"Tuang sikit-sikit macam kita letak kicap masa makan nasi sambil kacau adunan.
"Nampak ada warna sedikit gelap brown pada telur tu, baru jadi," katanya.
Tambah wanita itu, penggunaan mayonis juga memainkan peranan penting untuk mendapatkan rasa sama seperti mana sandwic dijual di kolejnya dahulu.
"Mayonis brand Telly pek 1 kg wajib guna sebab rasanya tak sama macam versi botol kecil atau besar yang lebih masam," jelasnya.