Jepun berdepan krisis pengeluaran matcha, harga dijangka melambung
CUACA panas melampau yang sedang melanda Jepun ketika ini bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian tetapi turut memusnahkan tanaman teh hijau yang menjadi sumber penghasilan serbuk matcha.
Akibat krisis ini, pengeluaran bekalan matcha merosot dengan ketara menyebabkan harganya melambung tinggi sehingga peminat minuman itu turut merasai bahangnya.
Wilayah Kyoto yang menyumbang kira-kira suku daripada pengeluaran tencha Jepun (daun teh kering yang dikisar menjadi matcha) paling teruk terjejas lapor Azernews.
Suhu panas melampau dalam sejarah Jepun merosakkan tanaman menyebabkan hasil tuaian lemah pada bulan April dan Mei.

Keadaan ini membimbangkan ekoran permintaan tinggi dan bekalan menjunam teruk.
Matcha menjadi pilihan kerana kandungan antioksidan yang tinggi dan tahap kafein lebih tinggi berbanding teh hijau biasa.
Namun, permintaan tinggi menyebabkan sesetengah pemborong mengehadkan pembelian kerana bekalan yang terhad.
MENARIK DIBACA: Tak ada bunga kantan nak masak asam pedas? Mak-mak boleh guna bahan ini sebagai pengganti
MENARIK DIBACA: Mak-mak kalau di dapur jangan tergopoh-gapah, amal 7 doa ini ketika memasak
Menurut Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, eksport teh hijau termasuk matcha meningkat 25 peratus dari segi nilai mencecah 36.4 bilion yen sekitar RM1.2 bilion pada tahun 2024.
Jumlah eksport juga naik 16 peratus kebanyakannya disumbang oleh teh serbuk seperti matcha.
Sebagai langkah pemulihan, pengeluar teh di Jepun kini giat berusaha meningkatkan semula pengeluaran.
Namun begitu, pakar industri memberi amaran bahawa kekurangan bekalan matcha dijangka berlarutan memandangkan pokok teh baharu memerlukan tempoh matang sekitar lima tahun sebelum boleh dituai.
Dalam masa yang sama, para peminat matcha di seluruh dunia mungkin terpaksa bersedia menghadapi kenaikan harga.
Selain perlu mempertimbangkan alternatif daripada negara lain seperti Taiwan dan China meskipun ramai penggemar tegar berpendapat rasa serta kualiti matcha dari Jepun adalah unik dan sukar ditandingi.