KUALI | Trending

Mak-mak kalau di dapur jangan tergopoh-gapah, amal 7 doa ini ketika memasak

Lead Image

RAMAI dalam kalangan kita menganggap memasak sekadar rutin harian menyediakan makanan untuk diri dan keluarga. 

Namun dalam Islam, setiap pekerjaan walau sekecil mana pun ia boleh menjadi ibadah sekiranya dilakukan dengan niat ikhlas dan disertai dengan doa. 

Memasak bukan sekadar mengenyangkan perut tetapi juga satu bentuk kasih sayang dan tanggungjawab yang besar terutamanya jika untuk memberi makan kepada orang lain. 

Hidangan disediakan bukan sekadar mengisi perut, tetapi menjadi asbab keberkatan buat yang memasak dan menikmatinya.

Oleh itu, sewajarnya kita mengiringi setiap langkah di dapur dengan doa dan zikir agar makanan dimasak bukan hanya sedap di lidah tetapi juga membawa keberkatan,kesihatan dan menjadi asbab ketenangan serta kebahagiaan dalam kehidupan.

Kuali berkongsi beberapa doa lazim ketika memasak boleh diamalkan agar setiap hidangan yang dimasak mendapat keberkatan.

Sebelum memulakan rutin untuk memasak digalakkan berniat terlebih dahulu.

1. Niat sebelum memasak

Sebelum memulakan rutin memasak tanamkan niat seperti berikut:

“Aku memasak ini kerana Allah untuk memberi makan kepada keluargaku agar mereka mendapat kekuatan untuk beribadah kepada-Mu, Ya Allah.”

Dengan niat yang ikhlas, setiap gerakan dan hasil kerja akan diganjari pahala oleh Allah SWT.

Semasa menyediakan bahan memasak boleh mula berdoa doa agar dipohon keberkatan rezeki.

2. Doa memohon keberkatan rezeki

Ketika menyiapkan bahan-bahan atau mula memasak boleh mula membaca doa ini:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka.”

MENARIK DIBACA: Satu persatu restoran ditutup sebab tiada pelanggan, syarikat pula tanggung hutang bilion ringgit... Ini 5 fakta menarik tentang Salt Bae

MENARIK DIBACA: Nak buat tiramisu tapi biskut ladyfingers mahal, rupanya guna bahulu pun lagi sedap!

Doa juga semasa menyalakan api dapur agar dilindungi dari sebarang perkara buruk.

3. Doa semasa menyalakan api dapur

Kegunaan api di dapur tidak dapat dinafikan tetapi risiko bahayanya tetap wujud. 

Oleh itu, digalakkan membaca doa ini ketika menyalakan api atau dapur gas:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tidak ada sesuatu pun dapat mendatangkan mudarat.”

Sambil memasak boleh juga membasahkan lidah dengan zikir-zikir ringkas.

4. Zikir ketika memasak

Sambil memasak kita digalakkan membasahkan lidah dengan zikir seperti "Astaghfirullah, Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakhbar".

Zikir ini bukan sahaja menenangkan hati malah menghidupkan suasana dapur dengan keberkatan.

Ketika memotong sayur pun digalakkan untuk sentiasa berzikir dan berniat baik.

5. Doa memotong sayur 

Dalam Islam tiada doa khusus yang sahih daripada hadis untuk memotong sayur, namun adalah digalakkan untuk sentiasa berzikir dan berniat baik semasa melakukan kerja harian termasuk menyediakan makanan.

Anda boleh amalkan surah al-Kautsar ayat 1 hingga 3. 

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah memberikan kepada-Mu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhan-Mu dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus."

Kacau makanan ikut arah lawan jam diiringi doa dan zikir.

6. Doa mengacau masakan, kacau ikut lawan arah jam iaitu putaran tawaf.

ﻟَﻴْﺲَ ﻟَﻬـﺎَ ﻣِﻦْ ﺩُﻭْﻥِ ﺍﻟﻠﻪِ ﻛـﺎَ ﺷِﻔَـﺔٌ

Maksudnya: “Tidak ada yang dapat menyatakan hari itu selain Allah.”

Panjatkan juga doa sebagai tanda syukur setelah selesai masak.

7. Doa selepas selesai memasak

Setelah selesai memasak, panjatkan rasa syukur kepada Allah dengan doa ini:

الْـحَمْدُ للهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam.”

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Secawan kopi serendah RM6, ini 5 port kafe harga bajet

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

‘Mola-mola’ hanya buat video masak, sekarang Kakcik Yah sibuk reviu makanan... Ada sanggup datang rumah hantar produk! 

Terhangat