[V] Pemuda 'jual' nama 'A Jeo Ssi' buka restoran Korea, kimchi bukan sekadar 'banchan'
SIAPA sahaja yang tidak terliur apabila melihat masakan Korea panas-panas terhidang depan mata.
Apatah lagi kalau menu tersebut benar-benar autentik, cukup rasa pedas, masam dan umami yang pasti membuatkan kita tidak cukup dengan satu suapan.
Kalau ada yang 'mengidam' nak menikmati makanan Korea, apa kata singgah ke kedai viral, A Jeo Ssi Kimchi Ramen, yang kini menjadi buruan 'kaki makan'.
Kedai ini tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan disebabkan keistimewaan menu ditawarkan meskipun ia sebenarnya masih dalam fasa penambahbaikan secara berperingkat.

Menurut pemilik bersama restoran ini, Iman Hakim, 'A Jeo Ssi' bermaksud 'pakcik' dalam bahasa Melayu.
Nama ini dipilih untuk menggambarkan bahawa kedai ini mempunyai banyak pengalaman dalam masakan Korea.
“Kedai ini belum siap sepenuhnya, masih banyak yang perlu ditambah baik tapi kami percaya pada rezeki jadi kami buka dulu.
“Tak sangka pula sambutan sangat baik dan ramai pelanggan mula datang dan mencuba,” katanya.
Kalau dah masuk ke kedai makan Korea, memang tidak lengkaplah hidangan tanpa kimchi.
Istimewanya di sini, kimchi bukan dijadikan 'banchan' (hidangan sampingan) atau sekadar pelengkap hidangan tetapi menjadi bahan utama yang 'diangkat' dalam pelbagai menu utama.
Teknik penyediaannya juga berbeza daripada biasa apabila pes kimchi bukan sahaja diperam tetapi turut melalui proses tumisan dan digoreng menjadikannya lebih wangi, sedap dan tahan lama.

Hasilnya, rasa kimchi di sini lebih ‘kick’ dan terdapat kelainan dalam setiap hidangan.
Menurut Iman Hakim, 21, resipi asal untuk menu-menu di kedainya adalah inspirasi dari sebuah kedai di Korea Selatan yang mana rakan kongsinya pernah bekerja di situ.
“Kami ambil inspirasi dari resipi asal Korea tapi semua kami ubah suai jadi versi halal.
MENARIK DIBACA: Makan 5 biji telur seminggu mampu kurangkan risiko Alzheimer - Kajian
MENARIK DIBACA: Letak air kundur jadikan masakan lebih enak, wanita dapat idea spontan ketika terdesak
“Rakan kongsi saya sendiri buat kajian dan sesuaikan bahan-bahan supaya boleh dinikmati semua pelanggan,” katanya.
Antara menu yang patut dicuba di sini termasuklah nasi goreng kimchi, penkek 'seafood', kimchi ramen, japchae, tteokbokki dan ayam masam manis.
Keenakan nasi goreng kimchi memang tak dapat dinafikan, gabungkan rasa pedas masam seimbang dengan aroma kimchi yang menaikkan selera.

Kimchi ramen pula ditampilkan bersama kuah yang pekat, dengan rasa pedas dan sedikit masam, cukup nikmat apabila dimakan panas-panas.
Untuk penkek 'seafood', teksturnya rangup dan lembut dimakan bersama makanan laut seperti udang segar.
Hidangan mi japchae pula tampil lebih ringan, manakala tteokbokki memberi sensasi pedas manis yang cukup ‘melekat’ di lidah.
Jangan lupa jika ke sini wajib cuba ayam masam manis dan melengkapkan hidangan semestinya serta ayam goreng rangup lembut bersama sos istimewa.
Lokasi: A Jeo Ssi Kimchi Ramen, No. 63B, Bangunan Ka Yin, Unit F&B, 04, Jalan Sultan, City Centre, 50000 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (11.30 pagi hingga 12 tengah malam)