Bajet 2026 sasar pengapungan harga ayam, kerajaan komited perkukuh industri halal negara
KERAJAAN meneruskan komitmennya dalam memastikan ketelusan dan keberkesanan penggunaan dana awam menerusi langkah penyasaran subsidi dalam Bajet 2026.
Usaha ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan negara, malah menjamin bantuan sampai kepada golongan sasar memerlukan.
Antara langkah signifikan diumumkan adalah pengapungan harga ayam dijangka menjimatkan kerajaan sebanyak RM1 bilion tanpa menjejaskan kestabilan harga di pasaran.

Walaupun subsidi dihentikan, harga ayam kekal terkawal hasil mekanisme pasaran dan pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.
Selain itu, pengapungan harga telur menyumbang kepada penjimatan tambahan sebanyak RM1 bilion.
MENARIK DIBACA: Tiada penyesalan tinggalkan karier doktor gigi, Pastribella kebahagiaan sebenar Dr. Ezani
MENARIK DIBACA: Malaysia tembus senarai 'World’s 101 Best Steak Restaurants 2025'
Pelbagai inisiatif penting diumumkan dalam pembentangan Bajet 2026, sejajar dengan usaha kerajaan meneruskan komitmen memperkukuhkan ekosistem dan ekonomi negara.
Kerajaan meneruskan komitmen memperkukuh ekosistem industri halal negara menerusi pelbagai inisiatif penting yang diumumkan dalam Bajet 2026, sejajar dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab halal bertaraf dunia.
Dalam usaha membantu Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) halal memperluaskan operasi, SME Bank menawarkan pembiayaan khusus berjumlah RM100 juta.
Sementara itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) meningkatkan jaminan kerajaan bagi pembiayaan PKS halal daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion, memudahkan akses modal dan pengembangan perniagaan.
Selain itu, industri Perladangan dan Komoditi turut menerima manfaat daripada pengumuman Belanjawan 2026 selepas menyumbang hampir RM90 bilion kepada KDNK dan lebih 12 peratus eksport negara pada tahun lalu menerusi sektor Agrikomoditi.

Berkat penemuan saintifik, negara berjaya menangkis tohmahan barat terhadap sawit. Ini terbukti menerusi peningkatan eksport terutamanya ke China dan India.
Selain itu,kerajaan turut membela nasib pekebun kecil yang memerah keringat, membanting tulang mencari rezeki di ladang dengan peruntukan hampir RM120 juta.
Antaranya untuk menampung sebahagian kos tanaman semula pekebun kecil sawit bagi menggantikan sawit tua, menggalakkan pekebun kecil getah menghasilkan getah, mengusaha semula ladang-ladang getah persendirian yang terbiar dan membekalkan pekebun kecil koko dengan 1.1 juta anak benih koko berkualiti termasuk bantuan latihan oleh pemain industri.