KUALI | Dunia

Ingatkan pisang tanduk dah cukup besar, rupanya saiz pisang 'gergasi' Hua Moa lebih mantap

Lead Image

MUNGKIN ramai pernah melihat dan mengenali pisang tanduk yang memiliki saiz besar, panjang dan melengkung mirip seperti tanduk.

Tapi pernahkah anda melihat pisang berukuran gergasi yang dikenali sebagai Hua Moa?

Pisang Hua Moa merupakan salah satu jenis pisang yang semakin mendapat perhatian di serata dunia kerana keunikannya dari segi bentuk, rasa dan kegunaannya dalam masakan. 

Berasal dari Kepulauan Pasifik, khususnya Hawaii, pisang ini tergolong dalam kategori 'cooking banana', iaitu jenis pisang yang lazimnya dimasak sebelum dimakan. Namun Hua Moa juga boleh dimakan seperti pisang biasa.

Pisang Hua Moa memiliki saiz sehingga mencecah 25 sentimeter.

Pisang Hua Moa terhasil daripada kacukan dua jenis pisang iaitu pisang meja, iaitu spesis pisang yang biasanya terus dimakan seperti emas, bunga, raja dan berangan dengan pisang tanduk.

Bentuknya lebih pendek tetapi jauh lebih gemuk berbanding pisang biasa menjadikan Hua Moa mudah dikenali.

Bukan itu sahaja, pisang dengan saiz sehingga 25 sentimeter (cm) itu memiliki isi berwarna merah-oren yang teksturnya padat dan berkrim, sekali gus menjadikan pisang Hua Moa istimewa berbanding varieti lain.

Rasa pisang Hua Moa dikatakan lembut dan manis serta kaya dengan vitamin C.

Dari segi ciri fizikal, pisang Hua Moa mempunyai kulit yang tebal dan berubah warna daripada hijau ke kuning keemasan apabila mencapai tahap kematangan optimum. 

Selain bentuk dan saiznya yang unik, pisang Hua Moa juga memiliki keistimewaan tersendiri kerana dianggap sebagai 'pisang dua dalam satu' yang enak dimakan segar selepas ranum atau dimasak untuk dijadikan hidangan istimewa ketika masih hijau.

Sifatnya yang lembut, manis dan beraroma menjadikan pisang Hua Moa sangat sesuai digunakan dalam masakan seperti digoreng, dibakar, direbus atau dijadikan puri.

MENARIK DIBACA: Kerepek pisang bakar ranggup macam digoreng, mudahnya nak buat hanya guna 3 bahan

MENARIK DIBACA: [V] Puding roti cokelat pisang lembut dan enak, sedap dimakan sejuk-sejuk!

Di beberapa kawasan pasifik, pisang Hua Moa turut dijadikan hidangan utama dalam masakan tradisional sehingga membuktikan pisang tersebut memiliki nilai versatiliti dalam budaya kulinari masyarakat setempat.

Selain mempunyai nilai gastronomi, Hua Moa juga mudah ditanam di kawasan tropika kerana sifatnya yang tahan panas dan tidak memerlukan penjagaan kompleks. 

Pokoknya hanya mengambil masa sekitar setahun sebelum berbuah, menjadikannya pilihan menarik bagi pengusaha tanaman atau peminat hobi bercucuk tanam. 

Selain enak dimakan begitu sahaja, pisang Hua Moa juga sedap jika digoreng.

Dari segi manfaat kepada kesihatan pula, pisang Hua Moa juga tidak kalah hebat kerana memiliki kandungan kalium dan magnesium yang sangat tinggi, selain kaya dengan vitamin C dan serat untuk membantu memperkuat sistem imun serta membantu melancarkan sistem pencernaan.

Secara keseluruhan, Hua Moa bukan sekadar buah eksotik, tetapi contoh bagaimana kepelbagaian tanaman di seluruh dunia mampu memperkaya pengalaman makanan manusia. 

Dengan gabungan rasa, tekstur dan potensi dalam masakan, tidak hairanlah varieti ini semakin diterokai oleh pencinta makanan dan pekebun yang menginginkan sesuatu yang unik.

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Viral

Ada lipas, najis tikus! Kafe hospital swasta kotor diarah tutup serta-merta

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Dunia

Ikan dalam tab mandi! Lepas 5 tahun warga emas kantoi jadikan apartmen ‘kilang’ proses makanan laut

Terhangat