Peminat BTS bangga dapat merasa sisa air dari botol diminum salah seorang anggota
SEKUMPULAN peminat fanatik mencetuskan sensasi di media sosial apabila bertindak minum baki air dalam botol yang mereka percaya milik anggota kumpulan popular Korea Selatan, BTS.
Kejadian berlaku selepas tamat konsert di King Baudouin Stadium, Belgium pada Khamis lalu apabila kumpulan peminat fanatik BTS (Army) itu tidak terus pulang setelah persembahan tamat.
Menerusi video tular di TikTok, peminat berkenaan dikatakan menemui botol minuman yang mereka percaya sebelum itu digunakan oleh salah seorang anggota BTS.
Botol tersebut mempunyai label nombor tujuh, dipercayai merujuk kepada salah seorang anggota kumpulan berkenaan.
Dalam video itu, beberapa individu dari kumpulan terbabit dilihat berkongsi minum baki air yang ada menggunakan straw sama, selain mengambil gambar bersama botol berkenaan.
Tindakan itu menerima pelbagai reaksi netizen dengan ramai mengecam perbuatan tersebut kerana menganggapnya keterlaluan dan melampaui batas sebagai seorang peminat.

Sebahagian netizen menyifatkan tindakan itu sebagai contoh fanatik melampau terhadap selebriti atau tingkah laku parasosial iaitu keadaan apabila hubungan emosi seseorang terhadap artis menjadi terlalu kuat sehingga melebihi batas normal.
"Minat terhadap artis adalah perkara biasa, tetapi tindakan seperti ini sudah melampaui batas dan boleh membuatkan orang lain berasa kurang selesa.
"Persoalannya, mengapa botol yang sudah digunakan oleh anggota kumpulan diberikan kepada peminat? Tambah pula, mereka berkongsi minum menggunakan straw yang sama," komen seorang netizen.
MENARIK DIBACA: [V] Jijik! Tular video tikus berkeliaran atas makanan di kedai malatang, KKM diminta ambil tindakan
MENARIK DIBACA: Simpan durian 'frozen' dalam bekas banyak kelemahan, teknik balut lebih tahan lama
Dalam masa sama, beberapa peminat BTS turut meluahkan rasa kecewa kerana bimbang tindakan segelintir individu boleh menjejaskan imej keseluruhan fandom army.
Ada juga yang mengingatkan orang ramai supaya tidak terus berpandangan negatif terhadap individu terbabit.
Menurut mereka, tindakan yang dianggap tidak sesuai boleh ditegur tanpa membuat andaian terhadap keadaan mental seseorang.
Berkongsi botol minuman dengan orang yang anda tidak kenali boleh mendedahkan anda kepada beberapa jangkitan kerana air liur pada bibir botol atau penyedut minuman boleh memindahkan mikroorganisma.
Antara penyakit yang boleh berjangkit termasuklah selesema, Covid-19, influenza, sakit tekak, Mononukleosis (Epstein-Barr virus), herpes mulut dan HFMD.
Kesimpulannya, lebih selamat untuk tidak berkongsi botol minuman, cawan atau straw terutamanya dengan orang tidak dikenali atau yang sedang menunjukkan tanda-tanda tidak sihat.
Langkah mudah ini boleh mengurangkan risiko jangkitan virus dan bakteria.