Lewat hantar makanan ditempah, peniaga biadab salahkan pelanggan
DALAM dunia perniagaan yang melibatkan urusan jual beli, peniaga dan pembeli seharusnya menghormati antara satu sama lain.
Seorang wanita menerusi perkongsian di Threads menceritakan pengalaman kurang menyenangkan ketika berurusan dengan seorang peniaga kuih yang didakwa bersikap biadab.
Menurut wanita tersebut, dia sudah memaklumkan peniaga tentang waktu makanan yang ditempah itu akan dimakan oleh da dan rakan sekerja iaitu pada pukul 8 pagi.
Keesokan harinya, makanan yang dipesan tidak tiba seperti dijanjikan dan akhirnya lewat hampir sejam.

Susulan kejadian itu, dia bertanyakan kepada warganet tentang waktu yang sesuai untuk dimaklumkan kepada peniaga.
"Kalau saya minta makanan pukul 8 pagi, agak-agak pukul berapa saya nak makan? Minta pencerahan untuk elakkan isu sama dan saya boleh bagi arahan dengan betul," katanya yang buntu memikirkan siapa bersalah dalam hal ini.
Wanita tersebut turut berkongsi tangkap layar perbualannya dengan peniaga berkenaan.
Berdasarkan perbualan mereka pada hari tempahan dibuat, dapat diihat wanita itu dengan jelas memaklumkan bahawa makanan tersebut diperlukan untuk sarapan pada pukul 8 pagi.
Bagaimanapun, tempahan masih belum diterima pada pukul 8.24 pagi keesokan hari menyebabkan dia menghubungi peniaga untuk mendapatkan penjelasan.
MENARIK DIBACA: Kedai tutup sekejap untuk solat Jumaat, pelanggan beri reviu buruk sebab tak letak notis
MENARIK DIBACA: "Supervisor acah bagus" - Pelanggan kafe bengang permintaan basuh 'tumbler' tak dilayan
Malangnya, jawapan yang diterima dianggap biadab malah dirinya pula dipersalahkan seolah-olah tidak pandai merancang masa.
"Kalau ikut logik pun, mana ada orang nak makan pukul 8, order pukul 8.
"You kena order at least sejam sebelum waktu makan, saya pun tak salah," kata peniaga tersebut apabila dipersoal tentang kelewatan penghantaran.
Lebih mengecewakan, peniaga tersebut turut menyarankan supaya wanita itu mengambil sendiri tempahan jika mahukan makanan diterima lebih cepat.
Musykil dengan dakwaan bahawa dirinya turut bersalah dalam hal ini, wanita berkenaan meminta pandangan netizen.

Di ruangan komen, rata-rata netizen berpihak kepada pelanggan itu dan berpendapat peniaga sepatutnya lebih profesional dalam menguruskan tempahan serta berkomunikasi dengan pelanggan.
"Saya caterer. Awak tak salah sis. Kalau customer cakap pukul 8, saya kena sediakan sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu makan. Apa jenis vendor yang boleh jawab macam tu?
"Saya rasa jelas dah bila sis cakap 'Kami nak makan untuk breakfast, pukul 8 pagi'. Sangat jelas pernyataan tu," antara komen netizen.
Malah ada juga yang menyatakan sikap peniaga itu boleh menyebabkan pelanggan serik untuk membuat tempahan semula.
"Peniaga salah dan agak 'rude' ya. Kalau sedap macam mana sekali pun, kalau perangai macam ni memang takkan repeat order," komen netizen lagi.