Gigi mula rosak, wanita risau sukar berhenti minum manis! Sehari habiskan 3 botol besar air berkarbonat
MINUMAN berkarbonat sememangnya menjadi pilihan ramai kerana rasanya yang manis serta sensasi gas yang menyegarkan.
Bagaimanapun pengambilan secara berlebihan boleh mengundang pelbagai risiko kesihatan termasuklah kesukaran menghentikan tabiat tersebut meskipun menyedari kesannya.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang individu di Threads yang meminta pandangan warga maya mengenai cara untuk menghentikan ketagihannya terhadap minuman bergas.
"Guys macam mana nak stop minum kola? Sehari I boleh minum tiga botol besar tu tapi nak stop susah, help!" tulisnya ringkas.
Menerusi ruangan komen, wanita tersebut menjelaskan dia seolah-olah ketagih dengan sensasi gas minuman berkarbonat itu setiap kali menikmatinya.
Menurutnya, dia juga jarang minum air putih dan berasa bimbang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kerana risau untuk mengetahui keadaan sebenar tahap kesihatannya.
Wanita itu turut mengakui gigi gerahamnya sudah mula rosak, sekali gus menjadi antara faktor yang mendorongnya mencari jalan untuk menghentikan tabiat tersebut.

"Saya tak beli pun minuman tu, tak boleh tahan nafsu sebab kat tempat kerja ada percuma unlimited kola," katanya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya terkejut dengan jumlah pengambilan minuman berkarbonat tersebut setiap hari.
Ada yang berpendapat keinginan berterusan untuk minum minuman manis mungkin berpunca daripada pengambilan protein dan serat yang tidak mencukupi.
MENARIK DIBACA: Cara betul cuci botol susu bayi tanpa guna sterilizer, tak cukup basuh guna sabun je!
MENARIK DIBACA: Cepat letih, stamina lemah! Ini 5 makanan baik untuk lelaki ada 'isu' hormon testosteron
"Craving gula, badan tak cukup protein dan serat. Makan banyak sayuran dan protein dan boleh mula minum cuka epal untuk regulate gula dalam darah. Follow up dengan doktor, check HbA1c kerap," tulis seorang pengguna.
Malah, terdapat juga individu yang mendakwa melihat peningkatan kes komplikasi kesihatan serius dalam kalangan golongan muda akibat gaya hidup dan pemakanan yang tidak dikawal.
"Saya doktor bahagian orthopaedic. Ya, trend sekarang umur 30-an pun ramai dah potong kaki," dakwanya.
Seorang lagi netizen turut mengingatkan bahawa kesedaran merupakan faktor paling penting jika mahu menghentikan tabiat tersebut.

"Tak ada cara lain melainkan awak ada kesedaran yang setiap hari awak ambil gula dengan banyak," katanya.
Selain itu, ada juga yang berkongsi pengalaman sendiri sebagai bekas peminat minuman berkarbonat sebelum berjaya mengurangkan pengambilannya secara berperingkat.
"Berbalik kepada diri sendiri saja lagi nak berhenti atau tidak. Lain orang lain cara. Saya dulu pun pencinta kola. Tapi saya 'stop', tak ingat bila kali terakhir minum. Kalau nak minum pun setengah cawan. Fikir kesihatan di kemudian hari saja," ujar seorang pengguna.
Walaupun sukar untuk mengubah tabiat yang sudah lama diamalkan, ramai berpendapat langkah kecil dilakukan secara konsisten mampu membantu seseorang menjalani gaya hidup yang lebih sihat pada masa hadapan.