Viral ikan disumbat dalam sotong, PHM nasihat pengguna jangan cepat tuduh penjual menipu
DAKWAAN seorang pembeli bahawa dia menemui ikan dalam perut sotong yang disyaki sengaja disumbat oleh penjual, mendapat perhatian platform kesihatan awam, Public Health Malaysia (PHM).
PHM menerusi hantarannya pada Khamis meminta masyarakat untuk tidak membuat sebarang tuduhan dan andaian secara melulu.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik PHM di Facebook, laman yang sering mempromosikan tentang kesedaran kesihatan itu meminta orang ramai untuk mengetahui tentang sifat sotong yang merupakan makhluk hidup dan juga pemangsa.
Menurut PHM, sotong merupakan haiwan pemangsa dan tidak mustahil hidupan marin invertebrata itu turut menjadikan hidupan laut lain sebagai makanan.

"Beli sekilo sotong, balik rumah nampak ada ikan di dalamnya. Terus rasa tertipu, terus rasa berat timbangan 'dicuri'. Tapi sebelum kita marah, kena betulkan satu 'mindset' penting.
"Sotong bukan plastik kosong. Sotong adalah pemangsa yang makan ikan kecil, udang dan hidupan lain,
"Jadi bila sotong ditangkap, kemungkinan makanan terakhirnya masih berada dalam badan," kongsi PHM.
MENARIK DIBACA: Dari ratu kosmetik ke dapur... Datin Isma dah ‘ready’ nak pencen, buka restoran Kantan sebab anak-anak - “Ada syarat perlu mereka penuhi”
MENARIK DIBACA: Kentut memang bau busuk, tapi makan telur setiap hari banyak manfaatnya
Susulan kejadian tersebut, PHM menyarankan pengguna untuk mengikuti cara berikut bagi mengelakkan rasa tidak puas hati selepas membuat pembelian:
- Minta peniaga bersihkan (siang) sotong sebelum timbang jika dibenarkan.
- Tanya dulu sama ada sotong dibeli sudah dibersihkan atau belum.
- Bandingkan harga sotong bersih dengan sotong yang belum dibersihkan.
- Simpan bukti dan buat aduan jika jelas ada unsur penipuan yang disengajakan.
Terdahulu, tular di aplikasi Threads apabila seorang pengguna mendakwa ditipu penjual sotong selepas menemui dua ekor ikan dalam kesemua sotong yang dibeli.
Pengguna tersebut memberitahu telah membeli satu kilogram sotong (tujuh ekor) daripada seorang penjual di pasar besar di Kota Kinabalu, Sabah.
Ketika di rumah, dia terkejut apabila mendapati dalam perut semua sotong yang disiang mempunyai dua ekor ikan basung (selayang), sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa dia telah ditipu oleh penjual.
Pengguna tersebut percaya bahawa peniaga dengan sengaja telah memasukkan ikan ke dalam perut sotong untuk memanipulasi berat dan harga sotong tersebut.