Ramai Gen Z didakwa nampak tua sebelum usia... Tabiat pemakanan, sikap FOMO dikatakan jadi punca
WAJAH yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenar sering dikaitkan dengan faktor pemakanan dan gaya hidup sihat.
Ramai percaya pengambilan makanan seimbang, kaya nutrien serta amalan hidup sihat mampu membantu mengekalkan keremajaan kulit dan melambatkan proses penuaan.
Bagaimanapun satu hantaran di Threads mencetuskan perdebatan apabila seorang netizen mempersoalkan tentang individu daripada generasi Z (Gen Z) yang kelihatan lebih berusia berbanding umur sebenar mereka.
Menurut individu tersebut, dia hairan melihat ramai golongan Gen Z yang berusia awal 20-an tetapi wajah serta penampilan mereka seperti sudah memasuki usia 30-an.

"Budak Gen Z korang makan makanan apa? Sebab umur 23 tahun tapi nampak macam umur 30 hingga 35 tahun. Apa hal semua nampak macam orang tua? Dulu milenial nampak macam Gen Z," tulisnya.
Hantaran itu mencuri perhatian warganet dan menerima pelbagai reaksi serta pandangan.
Sebahagian besar netizen daripada golongan milenial bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Mereka berpendapat faktor gaya hidup moden dan tabiat pemakanan kurang sihat antara penyumbang kepada penampilan Gen Z yang kelihatan lebih matang.
MENARIK DIBACA: [V] Viral minuman kopi campur kari kambing! Ramai kembang tekak tapi geng 'fomo' sanggup cuba
MENARIK DIBACA: Pemilik kesal geng Gen Z penuhkan kafe, berapa kerat je 'order' minuman! Tak hormat polisi, tiada 'common sense'
Malah, ada yang beranggapan sikap takut ketinggalan atau FOMO (Fear of Missing Out) untuk mencuba makanan viral atau meniru gaya hidup moden golongan jauh lebih berumur turut menyumbang kepada perkara ini.
"Millennials tak boleh memilih sangat makanan dulu. Pilihan cuma makan atau tak makan sahaja.
"Makan manis banyak sangat. Pantang ada pencuci mulut viral, semua sanggup beratur panjang nak cuba. Terlalu FOMO!
"Sebab terlalu banyak makan makanan segera, malas bersenam dan kurang makan sayur," tulis beberapa netizen.
Bagaimanapun, ramai juga daripada golongan Gen Z yang tidak bersetuju dengan dakwaan tersebut.

Ada yang menyifatkan sesetengah milenial terlalu yakin dengan wajah dan penampilan mereka dengan menganggap diri masih kelihatan muda.
"Puak satu ni memang kuat perasan. Tak sedar diri, umur dah nak masuk 40-an dan 50-an tapi masih perasan muda.
"Sejak bila milenial nampak macam Gen Z? Gosh, perasannya!" antara komen netizen Gen Z.
Sekadar info, Gen Z merujuk kepada individu yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012 dan berada dalam lingkungan usia 14 hingga 29 tahun.
Sementara itu, golongan milenial atau Generasi Y pula dilahirkan antara tahun 1981 hingga 1996, dengan usia 30 hingga 45 tahun.