Cawangan Murni Discovery terima notis KKM, diarah tutup 14 hari
LAGI premis makan diarahkan tutup, kali ini melibatkan cawangan restoran Murni Discovery di Bukit Jalil selepas notis penutupan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat dipamerkan di premis berkenaan.
Perkara tersebut mula mendapat perhatian ramai selepas seorang pengguna Threads berkongsi notis penutupan sementara premis oleh KKM yang ditampal pada pintu kedai.
Berdasarkan notis tersebut, premis berkenaan diarahkan menghentikan operasi selama 14 hari, bermula 9 Julai hingga 23 Julai 2026.

Notis tersebut memaklumkan bahawa, arahan penutupan dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan ditandatangani oleh pegawai yang diberi kuasa oleh KKM.
Sehingga artikel ini ditulis, pihak Murni Discovery masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penutupan sementara cawangan tersebut.
Selain Bukit Jalil, Murni Discovery memiliki 18 lagi cawangan antaranya di Bukit Bintang, Kepong, Desa Mentari, Permaisuri Cheras dan Bandar Baru Bangi.
Sebelum ini beberapa premis makanan di sekitar Lembah Klang telah diambil tindakan oleh penguatkuasa bahagian kesihatan apabila diberikan notis arahan penutupan sementara premis selama 14 hari.
MENARIK DIBACA: [V] Amir Nafis 'hantu telur', sedar-sedar diejek gemuk! Masuk sekolah menengah kurus, 'handsome' semula
MENARIK DIBACA: [V] Pemuda 'jual' nama 'A Jeo Ssi' buka restoran Korea, kimchi bukan sekadar 'banchan'
Pada bulan lalu, dua premis makanan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur diarahkan ditutup selama 14 hari selepas pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati berlaku pelanggaran aspek kebersihan.
Tidak lama selepas itu, enam restoran di sepanjang Jalan Alor turut diarahkan menghentikan operasi sementara hasil pemeriksaan bersepadu yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama KKM.
Pemeriksaan tersebut mendapati pelbagai isu kebersihan, termasuk kehadiran lipas dan tikus, kawasan penyediaan makanan yang kotor serta pengurusan sisa yang tidak memuaskan.

Pada Jun lalu, Restoran Sweden IKEA Cheras turut mengumumkan penutupan sementara selepas menerima arahan daripada pihak berkuasa kesihatan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi menyeluruh dijalankan.
Awal bulan ini, restoran sushi Sushiro di Suria KLCC juga diarahkan ditutup sementara oleh pihak berkuasa sebelum dibenarkan beroperasi semula selepas memenuhi keperluan yang ditetapkan.