Kakak anggap adik tiada adab habiskan biskut viral tanpa izin - "Aku tak sempat sentuh langsung"
SEORANG wanita meluahkan rasa kecewa apabila adiknya makan sebungkus biskut yang dibeli tanpa meminta izin terlebih dahulu.
Menerusi satu perkongsian di Threads, wanita itu menceritakan bahawa dia ada membeli sekotak biskut viral pada harga RM28 dan mengandungi 12 keping di dalamnya.
Menurutnya, dia dan teman lelaki sempat makan beberapa keping biskut itu selepas dibeli dan selebihnya dibawa pulang ke rumah.
Selepas itu, dia hanya makan sedikit demi sedikit baki biskut tersebut kerana berniat mahu menikmatinya sepanjang minggu.
Bagaimanapun, wanita itu mendakwa adiknya mengambil biskut tersebut tanpa meminta izin sehingga hanya tinggal tiga keping.
Lebih mengecewakan, ketiga-tiga keping biskut itu akhirnya dihabiskan oleh si adik ketika dia keluar ke dobi.
"Pagi tadi aku check ada lagi tiga. Sebelum tu dia dah makan hampir tiga keping cookies aku dan tak minta izin pun. Aku cuma cakap hari aku bawa balik tu 'boleh ambil' tapi lepas tu dia tak pernah tanya boleh ke tak nak makan semua.

"Aku pergi dobi waktu Maghrib dan memang dah terfikir nak makan cookies tu. Tapi bila balik aku tengok dia tengah makan.
"Guess what? Dia habiskan semua dan aku tak sempat sentuh langsung. Aku tanya ada lagi tak, dia gelak. Aku buka peti ais, kosong.
"Aku memang dah lama mengidam cookies tu dan sengaja simpan sebab nak makan. Hampir semua makanan yang aku beli dekat rumah ni habis sebab adik-beradik aku makan.
"Sumpah aku baran. Aku memang simpan cookies tu untuk makan sepanjang minggu. Sedih dan marah pada masa yang sama," tulisnya.
MENARIK DIBACA: Perap guna susu rahsia ayam goreng rangup, isi berjus ala restoran 'fast food'
MENARIK DIBACA: Individu dikecam dengki warga asing isi 2 botol air wakaf masjid - "Warganegara minum segelas dua je"
Di ruangan komen, pelbagai pendapat dilontarkan oleh netizen mengenai perkara itu.
Ramai berpendapat tindakan mengambil makanan tanpa kebenaran menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap hak milik orang lain.
"Masalah begini selalunya berpunca daripada ibu bapa sebab tak didik dari kecil tentang 'sempadan' dan 'hak'. Ibu bapa kena ajar hormati hak adik-beradik lain.
"Nak pinjam, minta izin. Nak makan, ingat orang belakang. Guna barang orang, jaga baik-baik. Barang peribadi jangan sesekali usik.
"Maaf cakap, bukan soal kedekut adik-beradik, tapi soal tak diajar hormat hak adik-beradik," luah seorang warganet.

Terdapat sebahagian netizen berpandangan bahawa tinggal serumah bukan alasan untuk mengambil hak orang lain sesuka hati.
"Jadi macam tu sebab serumah dengan orang yang rasa berhak terhadap hak orang lain. Common sense is not so common anymore. Lepas ni kalau boleh jangan letak makanan atau barang yang tak nak dikongsi di ruang bersama. Simpan saja dalam bilik atau habiskan sebelum balik.
"Nampak beberapa komen cakap itu pun berkira dengan adik-beradik. Bukan masalah berkira! Kalau nak, minta! Pertama sekali ialah adab minta izin nak pakai ke atau nak makan ke. Kalau bukan sendiri punya tolong belajar minta izin dekat tuan. Haram ambil orang lain punya, common sense sikit," antara komen netizen.
Dalam pada itu, terdapat juga segelintir netizen yang berpendapat isu berkenaan tidak sepatutnya diperbesarkan kerana membabitkan makanan, selain menyifatkan wanita itu terlalu berkira.
Menurut mereka, makanan boleh dibeli semula dan situasi tersebut mungkin dapat dielakkan jika biskut itu tidak dibawa pulang atau disimpan di tempat yang lebih selamat.
"Saya paling benci orang yang perangai macam ni. Lain kali jangan bawa balik benda yang tak nak dikongsi. Benda boleh beli apa masalahnya.
"Jangan berkira sangat pasal makanan boleh tak.
"Kalau tak mahu kongsi, simpan dalam bilik atau jangan bawa balik rumah," komen warga maya lagi.