Lelaki beri sebab tinggalkan IF walau berat turun, beralih ke puasa Nabi Daud
BERPUASA merupakan antara kaedah paling popular dan berkesan untuk menurunkan berat badan.
Bagaimanapun, 'intermittent fasting' (IF) juga semakin menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat hari ini untuk tujuan sama.
Bagi seorang lelaki dikenali sebagai Andi, dia berkongsi tentang IF yang dianggap tidak sesuai buat dirinya.
Menerusi perkongsiannya di laman Threads, Andi mengakui IF sebelum ini membuatkan dirinya terlalu terikat dengan jadual makan yang ketat.

Jelasnya, dia menjadi tidak keruan menantikan waktu makan, hingga menimbulkan tekanan terutama apabila rutin hariannya terganggu.
“Kenapa aku berhenti IF dan beralih ke puasa Daud? Sebab aku rasa IF memang boleh turunkan berat badan, tapi ia mudah naik semula.
"Bila stres, cepat lapar. Fikiran pula asyik kejar jam, badan pun jadi cepat letih,” kongsinya.
Dia akhirnya mengambil keputusan beralih kepada amalan puasa Nabi Daud yang dirasakan lebih seimbang, bukan sahaja dari segi fizikal, malah emosi.
MENARIK DIBACA: 'Struggle' turunkan berat badan, buat IF pun tak jalan... Wanita mula nampak perubahan seminggu selepas amal makan telur rebus
MENARIK DIBACA: [V] Dipaksa belajar masak sejak remaja, didikan tegas ibu buat Adriana Adnan bersyukur... Sekarang hari-hari masak untuk suami
Menurutnya, perubahan ketara dirasakan apabila keadaan tubuh menjadi lebih stabil dan tidak terlalu ‘terkejut’ seperti dia mengamalkan IF.
“Bila buat puasa Daud, berat badan aku lebih stabil. Rasa lapar pun lebih terkawal, tenaga lebih seimbang dan ada hari untuk badan ‘rehat’ dan pulih,” jelasnya.
Tambahnya, konsep puasa Nabi Daud yang berselang seli hari menjadikanya lebih fleksibel dan tidak membebankan tubuh dalam jangka masa panjang.
“Puasa Daud ada ritmanya sendiri. Sehari tahan, sehari bagi badan pulih. Tak paksa badan terlalu lama, sebab itu rasa lebih ringan dan senang nak konsisten,” katanya lagi.

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, puasa Nabi Daud merujuk kepada amalan berpuasa sunat secara selang sehari tanpa putus iaitu berpuasa pada hari pertama, berbuka (tak berpuasa) pada hari kedua, dan diulang secara berterusan sepanjang tahun.
Walau bagaimanapun, amalan ini tidak dilakukan pada hari-hari yang diharamkan berpuasa dalam Islam.
Dari sudut hukum pula, puasa Nabi Daud adalah sunat dan boleh diamalkan selagi seseorang itu mampu serta tidak mengganggu tanggungjawab harian.
IF pula adalah kaedah diet yang menetapkan jadual waktu makan dengan memfokuskan kepada bila anda makan bertujuan untuk menurunkan berat badan atau tujuan kesihatan lain.
Konsep asasnya, anda menetapkan sendiri tempoh boleh makan dan tempoh berpuasa dengan pola paling popular ialah puasa 16 jam dan makan dalam tempoh 8 jam.
IF bukanlah satu diet ketat yang mengubah apa yang dimakan, sebaliknya ia adalah strategi pengurusan waktu makan untuk kesihatan.