Makan budu punca kanser? Pakar dedah kenapa perlu letak limau, bawang dan cili
RASA masin dengan aroma kuat budu menjadikan ia pelengkap selera lebih-lebih lagi dimakan dengan ulam.
Bagaimanapun ramai tak sedar bahawa cara ia dinikmati sebenarnya mempunyai kaitan dengan kesihatan manusia serta sains makanan.
Perkongsian seorang Pakar Teknologi Makanan di Threads mengenai cara menikmati budu bersama perahan limau, hirisan bawang dan cili menarik perhatian ramai warga maya.
Menurut wanita dikenali sebagai Faten Aqeela berkata cara budu dimakan, biasanya bersama ulam ulaman memberikan impak terhadap kesihatan secara tidak langsung.

“Pernah tak korang terfikir kenapa makan budu kena perah limau, kena letak bawang, kena letak cili?
"Sure ke sekadar nak bagi sedap? Tahu tak budu sebenarnya boleh buat korang kena kanser?” tulisnya.
MENARIK DIBACA: Saintis beri amaran jangkitan virus baharu dari 'seafood', mangsa alami sakit mata kronik
MENARIK DIBACA: Ayam ungkep sama tapi tak serupa rendang... Keenakannya bikin tersandar lepas makan
Jelasnya, budu sejenis makanan fermentasi mengandungi protein dalam ikan dipecahkan sepanjang proses pembuatan.
Dalam proses itu juga, histamine terbentuk secara semula jadi.
Disebabkan kandungan histamine tinggi, sesetengah individu mungkin akan mengalami reaksi seperti muka terasa panas atau sedikit berdebar selepas memakannya.

Tambahnya lagi, pengambilan budu bersama limau sebenarnya membantu dari sudut kesihatan kerana limau mengandungi vitamin C boleh menghalang pembentukan nitrosamine, iaitu sebatian dengan risiko kanser.
Sementara itu, bawang dan cili pula bertindak sebagai antioksidan membantu melawan radikal bebas dalam badan, sekali gus memberi kesan pencegahan terhadap pembentukan bahan berbahaya tersebut.
“So kira tiga benda ni bukan je untuk bagi sedap tapi ada sains di sebalik penggunaan yang bantu badan sebagai 'preventive effect' kepada nitrosamine,” kongsinya.

Perkongsian itu turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen, malah ada berkongsi pengalaman masing-masing menikmati budu serta meminta pandangan lanjut mengenai makanan fermentasi lain seperti kimchi, tempoyak dan tempe.
“Saya makan budu wajib ada limau kalau tidak, tak boleh telan sebab hanyir dan bau ikan kuat sangat. Tapi nenek dan saudara lain relaks je,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi netizen turut mengingatkan bahawa budu seharusnya digunakan sebagai pencicah atau penyedap rasa, bukannya diminum begitu sahaja kerana kandungan garamnya yang tinggi.
Dalam menikmati makanan warisan, memahami cara pengambilan betul juga penting supaya kelazatan dan manfaatnya dapat dinikmati secara seimbang.