KUALI | Trending

Hidayah Limau Nipis guna tripod kayu rakam video pertama, kongsi pahit manis 10 tahun sebagai content creator... Rupanya pernah bergelar jurutera

Lead Image

“JANGAN tunggu nak ada semua baru nak mula” - Itu pegangan yang menjadi kunci kejayaan pempengaruh masakan dan Youtuber Nur Hidayah Akma Sazli dalam dunia kandungan digital.

Bermula dengan berkongsi resipi masakan atas talian sejak 10 tahun lalu, Hidayah kini berjaya membina jenama tersendiri iaitu Limau Nipis, sekali gus membuktikan dunia penciptaan kandungan bukan sekadar hobi tetapi boleh berkembang menjadi perniagaan menjana pendapatan.

Bekas jurutera petroleum ini mula menghasilkan kandungan selepas industri minyak dan gas yang diceburinya terjejas akibat kejatuhan harga pasaran global.

Siapa sangka video pertama Limau Nipis dihasilkan hanya menggunakan tripod kayu buatan sendiri yang direka khas oleh suaminya.

Bersama suaminya yang juga jurutera, mereka memilih haluan berbeza bermula dengan membina jenama masakan dari rumah menerusi YouTube.

Asalnya Hidayah mahu menceburi dalam bidang perniagaan tetapi Allah SWT ada percaturan lain untuknya dalam kandungan digital masakan.

Maka lahirlah Limau Nipis, saluran yang pada awalnya hanya mengisi masa lapang dan berkongsi minat memasak namun di sebalik video-video ringkas dan santai itu, tersimpan impian besar menjadikan kandungan masakan sebagai asas untuk membina empayar perniagaan.

Hidayah pada mulanya membuat konten masakan hanya sebagai hobi.

Konten pertama Limau Nipis

Tiada sebarang peralatan canggih mahupun studio mewah, video pertama Limau Nipis dihasilkan hanya menggunakan tripod kayu buatan sendiri yang direka khas oleh suaminya.

Berkongsi pengalamannya, Hidayah berkata dia dan suaminya akan meluangkan masa pada hujung minggu untuk menghasilkan video-video Limau Nipis, yang sepenuhnya dirakam oleh suami.

Hidayah, 35, akan bertanggungjawab memasak, menyunting video dan mengurus segala perkara berkaitan secara sendiri.

Kini, selepas lebih tiga tahun aktif secara serius, beliau sudah pun mempunyai juruvideo tetap yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban tugasnya.

Namun peoses suntingan video masih dilakukan sendiri bagi mengekalkan identiti unik Limau Nipis.

Kongsinya, nama Limau Nipis tercetus secara spontan ketika pasangan ini sedang menikmati budu dan kebetulan suaminya memegang limau, yang turut melambangkan kecintaan mereka terhadap masakan tradisional Pantai Timur.

Hidayah mengakui bahawa suami dan keluarganya menjadi sumber kekuatan utama dalam memberi sokongan terhadap kerjaya terbaharunya.

Belajar tinggi tapi duduk dapur?

Tidak semua menyambut baik keputusan Hidayah Sazli untuk meninggalkan kerjaya profesional dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada dunia masakan serta penghasilan kandungan makanan dari rumah.

Ada mempersoalkan, mengapa wanita berpendidikan tinggi memilih untuk ‘duduk di dapur’ jika mereka berpeluang membina kerjaya hebat di luar sana?

Namun bagi Hidayah, dapur bukan ruang membataskan potensi sebaliknya menjadi medan untuk berkembang, berkongsi ilmu dan menyumbang kepada diri sendiri, keluarga serta komuniti dengan cara tersendiri.

“Wanita berpendidikan tinggi masuk dapur bukan tanda rugi, ia sebenarnya membuka ruang mencipta, berkongsi dan membina rezeki,” katanya.

Bagi Hidayah, pandangan bahawa wanita berpelajaran tinggi tidak sepatutnya ‘duduk di dapur’ adalah tidak lagi relevan dalam era kini.

MENARIK DIBACA: Jepun berdepan krisis pengeluaran matcha, harga dijangka melambung

MENARIK DIBACA: Mak-mak kalau di dapur jangan tergopoh-gapah, amal 7 doa ini ketika memasak

Memasak dan berada di dapur bukan satu kekurangan kerana ia adalah kemahiran asas yang seharusnya dimiliki oleh semua tanpa mengira jantina.

“Wanita berpelajaran mampu memberi nilai tambah dalam rumah tangga termasuk dalam mendidik anak dan mengurus keluarga dengan lebih baik,” jelasnya lagi.

Tambah Hidayah, jika seseorang wanita memilih untuk berada di rumah dan memasak, itu bukan satu bentuk kelemahan bahkan satu pilihan yang wajar dan sangat mulia.

“Wanita juga boleh berjaya dalam bidang kulinari atau penghasilan kandungan makanan.

“Jadi, perempuan berpendidikan masuk dapur bukan satu kerugian, tetapi satu kekuatan,” ujarnya.

Hidayah berpandangan bahawa kemunculan pencipta kandungan dalam bidang masakan masa kini dilihat sebagai satu perkembangan yang sihat.

Persaingan sihat dalam dunia konten masakan

Kemunculan pencipta kandungan dalam bidang masakan masa kini dilihat sebagai satu perkembangan yang sihat oleh Hidayah.

“Lagi ramai yang berkongsi ilmu, sebenarnya lebih bagus. Lebih baik ramai hasilkan kandungan bermanfaat daripada konten kosong yang tiada faedah,” ujarnya.

Mengulas pandangan bahawa kehadiran golongan ini boleh mengganggu kerjaya cef profesional, Hidayah menepis tanggapan tersebut dan menganggapnya tidak tepat.

Kami hanyalah tukang masak di rumah dan tidak pernah mengaku diri sebagai cef

Hidayah Sazli

Pempengaruh masakan

“Kami menghormati cef yang memiliki ilmu formal dan kemahiran tinggi. Malah, saya sendiri gemar menonton kandungan mereka kerana kagum dengan teknik serta idea yang dikongsikan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, cef profesional juga mempunyai ruang tersendiri untuk memanfaatkan media sosial dalam mengembangkan pengaruh dan bakat mereka.

“Siapalah kami mahu bersaing dengan cef, tengok cara mereka potong bawang pun sudah cukup mengagumkan.

“Kalau cef yang bekerja di hotel sudah pastinya mereka yang berkelulusan dan berkemahiran tinggi yang dicari bukan kami.

“Jadi kami bukan pesaing sebaliknya pelengkap dalam dunia makanan,” ujarnya.

Hidayah berkongsi, dia sendiri mengambil masa sehingga empat tahun sebelum memperoleh pendapatan tetap sebagai seorang 'content creator'.

Jangan terus berhenti kerja!

Sementara itu, Hidayah meminta anak muda agar tidak terburu-buru meninggalkan pekerjaan tetap semata-mata untuk menjadi pencipta kandungan sepenuh masa.

Jelasnya, bidang tersebut tidak seindah dilihat walaupun kelihatan glamor sebaliknya memerlukan masa dan usaha berterusan.

Malah kata Hidayah, dia sendiri mengambil masa sehingga empat tahun sebelum memperoleh pendapatan tetap sebagai seorang 'content creator'.

“Kalau tiada kerja tetap, anda perlu fokus sepenuhnya dan gunakan apa sahaja yang ada, telefon pun sudah memadai.

“Jangan tunggu ada kamera mahal atau studio, tapi laburkan masa untuk belajar dan asah kemahiran,” katanya menutup perbualan.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Chef AI ketua operasi dapur restoran di Dubai, cipta menu ikut diet pelanggan 

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Byakuya aiskrim paling mahal di dunia, dihiasi emas 24 karat berharga RM28,000 

Terhangat