Wanita turun 25kg amal diet karnivor... Tak makan sayur, buah selama 7 tahun
BUKAN diet biasa, ibu kepada empat anak, Rachel Ashby, 41, memilih corak pemakanan karnivor dengan mengambil makanan dari sumber haiwan sejak 2019.
Rachel berasal dari Welwyn Garden City, Hertfordshire, United Kingdom pada mulanya mencuba diet berkenaan untuk melihat sendiri dakwaan mengenai manfaatnya.
Menurut laporan media antarabangsa, Rachel kini mengambil kira-kira 5,000 kalori sehari, termasuk daging, telur, mentega dan ayam.
Antara pengambilan harian pernah dikongsikan adalah tiga keping stik, 10 biji telur, seketul mentega dan kira-kira satu kilogram ayam.

Rachel mendakwa perubahan pemakanan yang dilakukan membantunya menurunkan kira-kira 25.4 kilogram berat badan, selain membina otot.
Dia juga berkata dirinya tidak lagi berasa perlu menahan lapar atau mengehadkan saiz hidangan seperti ketika mengamalkan diet sebelum ini.
MENARIK DIBACA: Air kelapa banyak khasiat, menyegarkan! Ketahui risiko jika minum berlebih-lebihan
MENARIK DIBACA: Kelapa tampuk merah dipercayai banyak kelebihan, baik untuk pesakit kanser jalani kemoterapi
Sebelum mengikuti diet berkenaan, Rachel mendakwa dirinya mengalami masalah berat badan dan keadaan ini menjejaskan keyakinan dirinya sehingga sering membatalkan rancangan dan lebih gemar berada di rumah.
Selepas perubahan ini, dia mendakwa berasa lebih bertenaga serta kembali yakin untuk melakukan lebih banyak aktiviti.
Rachel mula mengikuti diet karnivor kira-kira tujuh tahun lalu dan kemudian menjadi jurulatih diet karnivor bertauliah.
Dia turut berkongsi perjalanan kecergasan serta pemakanannya di media sosial, selain mempunyai perniagaan produk penjagaan kulit berasaskan lemak lembu menerusi jenama Tallow Glow.
Anak-anaknya juga pernah mencuba corak pemakanan sama, tetapi menurut laporan, mereka mengamalkannya secara tidak konsisten.

Rachel pula kekal dengan diet tersebut selama beberapa tahun dan menganggap perubahan dialaminya sebagai pengalaman peribadi positif.
Dari sudut kajian, bukti mengenai diet karnivor masih terhad malah pada masa sama, penyelidik masih mengenal pasti potensi kekurangan serat, vitamin C dan D, kalsium, magnesium serta iodin, selain kemungkinan peningkatan kolesterol menerusi amalan diet karnivor.
Selain itu, pengambilan mentega dan daging berlemak dalam jumlah tinggi perlu diberi perhatian kerana makanan berkenaan mengandungi lemak tepu.
Persatuan Jantung Amerika menyatakan pengambilan lemak tepu berlebihan boleh meningkatkan paras kolesterol, manakala penggantian lemak tepu dengan lemak tidak tepu dikaitkan dengan kesihatan jantung lebih baik.