Peniaga Thai guna minyak paket Malaysia dipersoal - “Kita kena had, sana jual suka hati?”
TATKALA bekalan keperluan asas menjadi kebimbangan rakyat Malaysia, satu video masakan dari Thailand mencetuskan perbualan hangat di media sosial.
Mana tidaknya, seorang peniaga makanan dilihat selamba menggunakan minyak masak paket jenama Malaysia ketika menyediakan ayam goreng untuk jualan.
Lebih mencetuskan rasa tidak puas hati, minyak yang digunakan dipercayai merupakan minyak subsidi kerajaan Malaysia yang sepatutnya dikawal penjualannya.

Perkongsian tersebut dimuat naik semula oleh seorang pengguna di platform Threads yang mempersoalkan tindakan peniaga tersebut menggunakan minyak paket berkenaan.
“Ore (orang) Thai duduk Thailand, jual di Thai… tapi guna minyak paket Malaysia weh,” tulisnya ringkas.
Hantaran itu serta merta mencuri perhatian netizen Malaysia yang rata-rata meluahkan rasa geram dan kecewa.
Ramai menyifatkan situasi tersebut berlaku disebabkan wujudnya pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menjadi dalang penyeludupan barangan di sempadan negara.
MENARIK DIBACA: Minyak masak terpakai jangan dibuang, ini 5 tempat boleh dijual selain ejen persendirian
MENARIK DIBACA: Jangan main beli jer, kenali jenis dan kod minyak masak
"Orang kita sendiri jadi pengkhianat negara. Bila kantoi, alasan nak cari makan,” luah seorang netizen.
Dalam pada itu, segelintir netizen mendakwa situasi tersebut bukan perkara baharu memandangkan minyak masak paket Malaysia memang mudah ditemui di kawasan Selatan Thailand.
“Minyak paket ni kalau dekat Golok memang bertimbun. Tak pasti macam mana kawalan di sempadan, lebih-lebih lagi laluan sungai. Nampak macam mudah sangat nak seludup,” kata seorang lagi pengguna.

Rata-rata netizen kesal apabila rakyat Malaysia sendiri perlu berdepan pelbagai sekatan untuk membeli minyak subsidi, termasuk had pembelian dan pemantauan ketat, namun di luar negara ia didakwa dijual secara terbuka.
“Relax je jual berlambak dekat pasar Sadao. Kita kat sini siap kena 'scan' aplikasi, itu pun tiga pek saja,” tulis seorang netizen.
Isu ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai keberkesanan penguatkuasaan di sempadan negara bagi mengelakkan bantuan kerajaan ‘terlepas’ ke tangan pihak lain.