Kanak-kanak Rusia didakwa kelaparan sampai kutip makanan di kubur, situasi ekonomi jadi persoalan
SEBUAH video yang tular di Rusia baru-baru ini memaparkan sekumpulan kanak-kanak yang didakwa kelaparan sehinggakan mengambil makanan yang diletakkan di kawasan perkuburan.
Rakaman tersebut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat apabila sebahagian pihak mempersoalkan sama ada tindakan itu berpunca daripada keadaan ekonomi yang semakin sukar di negara tersebut.
Menurut laporan media antarabangsa, kejadian itu berlaku di sebuah kawasan perkuburan di Rusia yang mana makanan ditinggalkan oleh keluarga si mati telah diambil oleh kanak-kanak yang berada di lokasi berkenaan.
Makanan tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada tradisi tempatan khususnya ketika sambutan Paskah (kematian) dengan ahli keluarga meninggalkan 'hadiah' makanan untuk orang yang telah meninggal dunia.
Namun, situasi ini mencuri perhatian kerana latar belakang ekonomi semasa di Rusia yang dikatakan semakin mencabar.

Terdapat laporan mengenai kenaikan harga barang keperluan asas seperti ayam dan kentang selain beberapa kawasan yang menghadapi kekurangan bekalan makanan tertentu.
Perang Rusia-Ukraine yang berterusan juga dilaporkan memberi kesan besar terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat biasa.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan tentang tahap kesejahteraan sebahagian penduduk termasuk kanak-kanak di sana.
Video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Ada yang menganggap tindakan itu sebagai sebahagian daripada tradisi yang sudah lama diamalkan di beberapa wilayah Rusia di mana kanak-kanak memang biasa mengutip gula-gula atau makanan yang ditinggalkan di kubur semasa perayaan tertentu.
MENARIK DIBACA: 5 cara rendahkan kandungan gula dalam nasi putih... Boleh makan tanpa risau
MENARIK DIBACA: Gulai ikan Kedah dipuji sedap, tak sama negeri lain... Orang utara dedah rempah rahsia, cara masak
Bagaimanapun terdapat juga pihak yang mengkritik keras tindakan tersebut menyifatkannya sebagai tidak sopan dan tidak sesuai dilakukan di kawasan perkuburan.
Mereka berpendapat makanan yang ditinggalkan untuk tujuan peringatan si mati tidak sepatutnya diambil.
Dalam pada itu, individu yang merakam dan memuat naik video tersebut mempertahankan situasi itu dengan menyatakan bahawa ia adalah amalan biasa dalam komuniti mereka ketika musim perayaan Paskah dan bukan sesuatu yang dianggap sebagai kesalahan.