Ramai rasa tertipu dapat tahu dori dimakan, dipuji enak selama ini sebenarnya ikan patin!
SEORANG pengguna laman Threads mencuri perhatian ramai apabila dia mengakui baru mengetahui bahawa ikan dori yang sering dimakan berkemungkinan besar adalah ikan patin.
"Aku seorang je ke yang baru tahu yang ikan dori ni sebenarnya adalah ikan patin. Ke sebenarnya aku yang salah? Baru hari ini saya tahu..." tulisnya.
Menurut individu tersebut, selama ini dia memang tidak gemar makan ikan patin namun tanpa disedari ikan dori yang sering dinikmatinya itu mungkin ikan patin.
"Itulah rasa macam mana nak letak muka ni malu. Selama ni bukan mainlah tak makan ikan patin, dori makan pula ya," katanya lagi.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut memberikan pandangan serta penjelasan mengenai kekeliruan tersebut.
Ada yang bersetuju bahawa ikan dori yang murah di pasaran, biasanya dalam bentuk fillet dan dijual sejuk beku (frozen) sebenarnya berasal daripada ikan patin khususnya spesies 'pangasius'.
"Ye ikan patin. Tengok nama saintifik kat label, ikan dori sebenar mahal.
MENARIK DIBACA: Chikuro cheese leleh jadi kegilaan! Ini cara buat sendiri... Tak payah beratur panjang, lebih jimat
MENARIK DIBACA: Gulai ikan Kedah dipuji sedap, tak sama negeri lain... Orang utara dedah rempah rahsia, cara masa
"Ikan dori yang murah memang asal isi ikan patin. Kadang geleng kepala tengok orang makan fillet ikan dori tapi kata tak makan ikan patin," antara komen warganet.
Bagaimanapun, ada juga yang menegaskan bahawa kedua-dua ikan itu sebenarnya berbeza.

"Isi dori adalah dari ikan 'John Dory' dan isi patin (pangasius) adalah dari ikan patin. Dua ikan yang berbeza... cubaan menyamakan dori dan patin adalah mengelirukan,” jelas seorang netizen.
Perdebatan itu turut disokong oleh warganet lain yang menjelaskan bahawa istilah 'dori' sering digunakan secara komersial.
"Ikan dori yang asal (John Dory) tu ikan laut tapi sebab kos meningkat, mereka (pembekal) lebih banyak guna ikan pangasius (Vietnamese catfish) ataupun ikan patin.
"Bila dah letak tepung dan goreng, rasanya tak jauh beza. Jarang sangat dah jumpa ikan 'John Dory' tu sekarang. Bukan setakat Malaysia, dekat Eropah ni pun mereka jual ikan pangasius tu.
"Ia bukan patin tapi dalam susur galur ikan patin. Kalau tak salah, saya cari ia sebenarnya patin Mekong Vietnam macam patin tapi bukan patin Sungai Pahang macam tu, " komen seorang lagi netizen.
Kesimpulannya, kekeliruan ini timbul kerana penggunaan istilah 'dori' dalam industri makanan yang tidak semestinya merujuk kepada ikan sebenar sebaliknya sering digunakan untuk fillet ikan putih seperti pangasius.
Jadi mungkin bukan anda seorang sahaja yang baru tahu, ramai juga rupanya yang ‘tertipu’ dengan nama di pasaran!