Jus nanas, sup ikan rahsia pakcik 69 tahun kekal sihat... Bebas penyakit 3 serangkai
MENGINJAK ke usia 40 tahun ke atas, tiada apa yang lebih penting selain kesihatan yang baik dan tubuh kekal cergas.
Justeru tidak hairanlah apabila pelbagai petua tradisional dan gaya hidup sihat diamalkan sejak usia muda sebagai ikhtiar untuk kekal sihat.
Seorang pengguna Threads terkejut selepas bertemu seorang lelaki berusia 69 tahun di masjid.
Menurutnya, setelah berbual panjang, warga emas itu mendedahkan dirinya langsung tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.

"Tadi di masjid sembang dengan hamba Allah. Umur dalam 69 tahun. Sihat dan tiada penyakit tiga serangkai (diabetes, darah tinggi, kolesterol tinggi). Tiada ambil ubat," katanya.
Apabila ditanya mengenai rahsia kekal sihat dan bertenaga, lelaki itu memberitahu dia banyak mengambil sayur-sayuran dan sup ikan selain mempunyai satu amalan yang dilakukan sejak muda.
"Rupanya, dia menjadikan air nanas muda sebagai minuman pilihan setiap dua bulan sekali.
"Banyak makan sayur dan sup ikan katanya. Sejak muda setiap dua bulan mesti ambil air nanas kampung.
MENARIK DIBACA: Rupanya ada cerita kenapa nanas banyak 'mata', dijual tanpa potong tangkai
MENARIK DIBACA: Nanas banyak khasiat, betul ke jika ibu hamil makan akan keguguran?
"Cari nanas yang muda sebab lendir buah amat pekat. Blend dan minum. Insya-Allah usus bersih dan penyakit berkaitan susah nak ada. Selera makan pun terkawal katanya," ujarnya.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai pengguna media sosial, malah ada yang turut berkongsi pengalaman ahli keluarga masing-masing yang mengamalkan minuman sama.
"Logik. Bromelain dalam nanas muda lagi tinggi berbanding nanas masak. Makin masak nanas, makin menurun bromelain.
"Betul. Nanas muda lebih elok dimakan (kecuali untuk orang yang tiada masalah leaky gut) dan sebaiknya dimakan bersama serat, bukan hanya jus semata-mata.

"Atuk saya umur hampir 80-an pun sama, sihat tiada penyakit dan tak nyanyuk. Sejak muda lagi amalkan minum air nanas, tapi dimasak letak gula batu," kongsi netizen di ruangan komen.
Bromelain ialah sejenis enzim semula jadi yang terdapat dalam buah dan batang nanas.
Enzim ini membantu memecahkan protein kepada komponen lebih kecil dan turut dikaji kerana mempunyai potensi kesan anti-radang.
Bagaimanapun masih belum ada bukti bahawa minum air nanas muda boleh membersihkan usus atau mencegah penyakit.
