[V] ‘Port’ daging salai masak lemak dan asam pedas sedap di Ipoh, set RM52 cukup berbaloi kongsi 3 orang
BAGI peminat masakan Melayu tiada lebih memikat hati dan selera selain keenakan asam pedas selain aroma daging salai masak lemak yang menusuk hidung.
Tapi malangnya tak semua restoran menyajikan hidangan menepati cita rasa asli apatah lagi di luar kawasan seperti Ipoh, Perak.
Walaupun asam pedas atau daging salai masak lemak bukan berasal dari Ipoh tetapi terdapat sebuah restoran tersembunyi menawarkan pengalaman kulinari dengan rasa tradisi Melayu.
Setiap suapan di Jendela Mikael boleh membuatkan si pemakan mengimbau kenangan dan mengubat kerinduan pada kampung halaman.

Restoran ini menyajikan masakan Melayu asli dengan hidangan-hidangan yang begitu menggugah selera.
Salah satu menu yang wajib dicuba adalah Set Mahsuri, yang berharga RM52 yang boleh dikongsi bersama tiga orang dewasa.
Set ini datang lengkap dengan tiga set nasi putih panas dipadankan dengan daging salai masak lemak Negeri Sembilan.
Aroma berlemak dan sentuhan rasa ‘smoky’ benar-benar menyerlahkan rasa autentiknya, membawa kita terus ke dapur kayu di Rembau.
MENARIK DIBACA: Jepun berdepan krisis pengeluaran matcha, harga dijangka melambung
MENARIK DIBACA: Mak-mak kalau di dapur jangan tergopoh-gapah, amal 7 doa ini ketika memasak
Tak hanya itu, set ini turut disempurnakan dengan siakap segar masak asam pedas Johor yang lembut isinya.
Kuah asam pedasnya tidak terlalu pekat tetapi kaya dengan rasa rempah yang menyeluruh. Setiap suapan menjanjikan pengalaman rasa yang menggembirakan.
Untuk peminat makanan laut, udang harimau masak sambal juga wajib dicuba. Udangnya besar, manis dan segar, disertai sambal yang menggoda.
Pedas, manis dan masin - semuanya berpadu dengan sempurna, menjadikan setiap sudu yang diambil tidak cukup hanya satu.

Tak lengkap hidangan ini tanpa telur dadar gebu, tempe goreng rangup, dan ulam-ulaman segar yang dipadankan dengan sambal belacan pedas, cukup menggigit dan memanaskan lidah.
Setiap suapan terasa seperti perjalanan melalui pelbagai rasa yang seimbang dan menyelerakan.
Restoran ini bukan sahaja sesuai untuk makan tengah hari, malah menjadi pilihan utama bagi mereka yang mencari sarapan yang penuh nostalgia.
Nasi lemak ayam berempah adalah kegemaran ramai, dengan ayam goreng yang rangup di luar dan lembut di dalam, dimasak dengan rempah yang menonjolkan rasa ayam dengan sempurna.

Disertakan dengan sambal pedas dan nasi lemak beraroma santan, sarapan di sini mengingatkan kita pada momen indah zaman kanak-kanak.
Bagi pencinta masakan tradisional, lempeng kelapa bersama sambal ikan bilis adalah pilihan yang tepat.
Lempeng lembut yang beraroma kelapa dipadankan dengan sambal pedas manis, mencipta kombinasi rasa yang begitu memikat selera.
Selain makanan yang luar biasa, ruang makan di Jendela Mikael juga cukup selesa dan berhawa dingin, sesuai untuk makan bersama keluarga atau majlis kecil. Terdapat juga bilik peribadi bagi sesiapa yang ingin mengadakan sambutan atau acara khusus.

Lokasinya yang strategik, bersebelahan dengan Hotel Impiana, menjadikan restoran ini pilihan ideal bagi pengunjung luar yang mencari hidangan warisan yang autentik.
Jika anda merindui rasa masakan kampung yang penuh kenangan, Jendela Mikael adalah destinasi yang wajib dikunjungi. Tak perlu banyak bicara, datang dan rasai sendiri kelazatannya!
Untuk tempahan atau pertanyaan, hubungi 011-1181 8803.
Alamat: Jendela Mikael Ipoh, 14, Jln Sultan Nazrin Shah, 30250 Ipoh, Perak
Waktu Operasi: Setiap hari, 10.00 pagi hingga 10.00 malam.