Ehsan Unity Hunt 2026 meriah! Paling 'gempak' peserta dapat hadiah kambing, arnab
EHSAN Unity Hunt 2026 'Kita Malaysia' anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meriah dengan 64 kumpulan berentap untuk satu matlamat, merebut hadiah menarik yang ditawarkan.
Menggabungkan konsep 'Treasure Hunt' dan 'Amazing Race', acara yang berlangsung pada 12 September lalu ini menyaksikan penyertaan 256 peserta kategori terbuka (176) dan kategori media (80).
Setiap kumpulan yang terdiri daripada empat peserta menaiki kenderaan dan menyelesaikan pelbagai cabaran di lima 'checkpoint' sekitar Selangor, bermula di Wisma PKPS di Shah Alam, sebagai lokasi pelepasan.

Sebaik sahaja bendera pelepasan dikibarkan, peserta terus memulakan misi masing-masing untuk mengumpul mata dan menyelesaikan tugasan yang disediakan.
Antara lokasi yang menjadi 'checkpoint' ialah Wisma PKPS, Ehsan Mart Seksyen 9, Pasar Borong Selangor, Selangor Fruit Valley (SFV) di Bestari Jaya dan Decathlon, Shah Alam.
Peserta perlu menjawab soalan dan menyelesaikan tugasan termasuklah membeli barangan di Ehsan Mart, membuat cendol dan berbelanja di Pasar Borong Selangor serta menganyam ketupat, memanah dan cabaran 'fear factor' di SFV sepanjang perlumbaan tersebut.

MENARIK DIBACA: Influencer sering buat 'content' makan ekstrem maut, sempat pesan kesihatan penting daripada wang
MENARIK DIBACA: Sajian istimewa di hati... Wanita kongsi cara buat nasi ulam, aroma harum sukar nak tolak
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, Ehsan Unity Hunt 2026 merupakan pendekatan baharu PKPS untuk mendekati masyarakat selain memperkenalkan jenama Ehsan melalui pengalaman yang lebih interaktif.
“Ehsan Unity Hunt 2026 bukan sekadar sebuah aktiviti santai dan rekreasi tetapi menjadi platform untuk kita mendekati komuniti, memperkenalkan jenama Ehsan dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan dengan rakan media serta rakan strategik.
“Sebagai penganjuran sulung, kita mahu peserta dapat merasai sesuatu yang berbeza. Dalam masa yang sama, mereka berpeluang mengenali lokasi operasi PKPS dan produk Ehsan melalui aktiviti yang menyeronokkan, mencabar dan memerlukan kerjasama berpasukan,” katanya kepada media.
Menariknya program ini, pelbagai hadiah ditawarkan bukan sahaja untuk pemenang pertandingan tetapi juga untuk cabutan bertuah yang menyaksikan peserta bertuah membawa pulang hadiah utama iaitu sebuah motosikal.
Suasana gamat apabila kambing dan arnab turut menjadi salah satu hadiah bagi acara cabutan bertuah.

Ehsan Mart adalah rangkaian pasar raya komuniti yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Selangor menerusi PKPS.
Matlamat utamanya adalah untuk menawarkan barangan keperluan asas dengan harga 10 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran biasa, khusus untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan B40 dan M40.
Sehingga kini terdapat tujuh cawangan Ehsan Mart di Selangor.