Nasi tambah kena caj, minta separuh atau suku harga sama... Logik harga makanan jadi bualan
HARGA makanan di mana-mana restoran atau kedai biasanya ditetapkan berdasarkan satu hidangan lengkap, sebagai contoh nasi dan lauk.
Jadi, jika pelanggan meminta nasi tambahan, caj tambahan akan dikenakan oleh peniaga kerana kuantiti makanan bertambah.
Perkara ini menjadi perhatian warganet selepas seorang individu berkongsi pandangan peribadinya.

"Nak tanya 'geng-geng' kerja di kedai makan, kenapa kalau pelanggan minta nasi lebih kena tambah duit, tapi kalau minta nasi separuh tak tolak harga?" soalnya di Threads.
Menurut individu berkenaan, bayaran lebih bagi nasi tambahan lebih mudah difahami kerana melibatkan pertambahan bahan dan kos.
Bagaimanapun situasi sudah tentu berbeza apabila pelanggan meminta agar kuantiti nasi penuh dikurangkan kepada suku atau separuh, sebagai contoh.
Seorang netizen tampil menjelaskan bahawa harga makanan biasanya ditetapkan berdasarkan kos keseluruhan satu hidangan.
"Kalau fikir dari sudut perniagaan, nasi tambahan memang jelas sebab ada kos tambahan. Tapi kalau nasi kurang, nak tolak berapa banyak? 10 sen? 30 sen? 50 sen? Kalau setiap pelanggan minta jumlah berbeza, memang susah nak kekalkan harga konsisten.
"Saya kerja bungkus nasi kerabu, jika pelanggan minta nasi separuh, atau tak mahu sayur sebagainya, harga tetap sama sebab pelanggan yang tak mahu," demikian penjelasannya.
Ada juga yang berpendapat, harga sesuatu set makanan bukan hanya bergantung kepada jumlah nasi di dalam pinggan.
MENARIK DIBACA: Cara mudah simpan cili, sayur agar kekal segar... Lebih sebulan masih masih elok
MENARIK DIBACA: Wajah lebih berseri, parut pudar dan rambut berkilat lepas amal minum kolagen sisik ikan
Sebaliknya, ia turut mengambil kira kos lain seperti upah pekerja, sewa premis dan pelbagai perbelanjaan operasi.
Seorang individu pernah bekerja sambilan di kedai makan turut berkongsi pengalamannya.
"Saya pernah kerja sambilan di kedai makan. Kalau nasi set harga RM7 dan pelanggan nak separuh, tetap RM7. Pemilik kedai beritahu, harga itu memang untuk satu set. Kalau pelanggan minta kurang, itu permintaan mereka sendiri," katanya.
Bagaimanapun, ada juga pelanggan berkongsi pengalaman berkunjung ke kedai yang menawarkan harga lebih rendah apabila mereka meminta nasi dalam kuantiti sedikit.

"Pernah makan di satu kedai, mereka dah tulis siap-siap nasi tambah atau nasi kurang, harga tetap sama.
"Ada juga peniaga tolak 50 sen kalau minta nasi kurang, cuma kebanyakan kedai memang tak kurangkan harga walaupun pelanggan ambil nasi sedikit," antara komen warganet .
Kesimpulannya, setiap kedai mempunyai cara pengiraan kos dan polisi tersendiri.
Sebagai pelanggan, mungkin lebih mudah jika harga dan pilihan hidangan dijelaskan lebih awal supaya tiada salah faham apabila membuat pesanan.
Ada peniaga yang menawarkan potongan harga untuk nasi kurang, manakala sebahagian lagi menetapkan harga berdasarkan satu set hidangan.