Wanita terkilan, dakwa warga Indonesia 'ceroboh' majlis kahwin sebab nak makan percuma
SETIAP kali menerima kad undangan perkahwinan, kita pasti teruja untuk hadir bagi meraikan raja sehari, selain menikmati juadah disediakan oleh tuan rumah.
Bagi tuan rumah pula, menyediakan hidangan yang cukup buat tetamu menjadi satu kepuasan, malah majlis sebegini turut dilihat sebagai ruang untuk bersedekah dan mengeratkan silaturahim.
Bagaimanapun, tuan rumah pasti kecewa apabila majlis perkahwinan yang diadakan 'dicerobohi' oleh individu tidak bertanggungjawab yang hadir tanpa diundang.
Tular satu hantaran di Threads memaparkan respon seorang wanita terhadap video dua warga Indonesia yang secara terbuka mengaku menghadiri majlis kahwin orang tidak dikenali semata-mata mahu makan percuma.
Menerusi perkongsiannya, dia meluahkan rasa terkilan sambil mengimbas pengalaman pahit melangsungkan majlis perkahwinannya Januari lalu.

"Makanan itu jadi haram kan kalau buat macam ini? Januari hari itu masa majlis perkahwinan saya, ramai warga Indonesia yang tiba-tiba dari mana datang buat macam ini.
"Datang makan ramai sangat sampai makanan pun habis, tetamu dijemput sampai tak dapat makan.
"Keluarga pun tak sempat halang sebab majlis perkahwinan open space dan mereka terus beratur ambil makanan. Dah habis majlis baru semua orang beritahu, memang gila beb," luahnya.
Susulan perkongsiannya, ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi warganet yang menyelar tindakan kumpulan tidak beradab itu selain mengaitkannya dengan hukum agama.
MENARIK DIBACA: Teknik cuci beras guna kain cara orang Jepun... Nasi makin sedap, tekstur lebih cantik
MENARIK DIBACA: Hati-hati beli ikan sesi 'live', scammer tunggu masa tipu pembeli... Ramai dah terkena!
Sebilangan besar netizen mengingatkan bahawa tindakan menghadiri majlis dan makan hidangan tanpa kebenaran atau jemputan tuan rumah adalah dilarang sama sekali dalam Islam.
"Walaupun mereka tidak tahu hukum halal haram takkanlah tidak ada adab. Tak boleh fikir ke kalau tidak dijemput itu janganlah datang, kasihan dekat tetamu lain yang dijemput bahagian mereka sudah dihabiskan.
"Pakai tudung macam orang Islam tapi tak belajar agama ke mereka ni? Makan di majlis yang tidak dijemput jatuh haram," komen beberapa netizen.
Sebahagian lagi netizen turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan mengecam tindakan itu.

"Budaya buruk kat Indoneisa stay kat Indonesia je. Tak payah bawa sampai sini. Kat sini penuh adab.
"Tak pelik kalau Indonesia buat. Kadang-kadang diaorang punya adat setempat melebihi hukum agama. Macam makan tanpa jemputan daripada tuan rumah ni haram," komen warganet lagi.
Bukan itu sahaja, beberapa warga maya turut mengambil kesempatan menceritakan pengalaman serupa di majlis perkahwinan masing-masing yang dihadiri tetamu tidak diundang.
"Majlis kenduri saya hari itu, orang yang kita tidak kenal datang, siap cakap kenal ayah pengantin. Maaf cakap awak kenal arwah abah saya, tapi saya tidak kenal awak.
"Memang tempah makanan lebih, tapi masalahnya banyak yang datang tanpa diundang sampai habis lauk kenduri. Orang yang diundang tiada lauk nak makan. Sumpah sedih tengok umi menangis," kata seorang individu.
Ada juga individu menceritakan pengalaman mengadakan majlis yang dihadiri kumpulan pelancong tanpa diundang.
"Masa nikah dekat Masjid Putra, habis nikah ada buat makan-makan sikit untuk keluarga dan tetamu yang hadir. Tiba-tiba ramai pelancong sertai makan.
"Mereka ingat yang saya kahwin itu lakonan untuk mereka belajar adat Melayu. Makanan pun mereka ingat makanan tester. Nasib baik cukup," komen warganet lagi.