Hampir 10 tahun siram 'air belacan', petua pokok ros hidup subur - "Tak share kalau tak menjadi"
TERDAPAT banyak teknik dan petua boleh dicuba untuk mendapatkan pokok atau hasil tanaman yang sihat termasuklah penggunaan bahan dapur.
Seorang wanita dikenali sebagai Pokokkakpen mencuri perhatian warga maya apabila berkongsi petua air belacan untuk merangsang pembungaan pokok bunga mawar.
Menurutnya, kaedah tersebut bukan sahaja sesuai untuk pokok bunga ros, malah boleh juga digunakan terhadap tanaman bunga lain.
"Tip nak kasi bunga ros berbunga, siram air belacan! Jangan kecam, just siram!

"Takkan saya nak share something yang tak menjadi. Saya dah buat cara ni sejak 2017 untuk pokok bunga ros," kongsinya di Threads.
Di ruangan komen, wanita itu turut menjelaskan bahawa teknik berkenaan hanya dilakukan seminggu sekali bagi mengelakkan sebarang kesan yang tidak diingini.
MENARIK DIBACA: Sejarah Gardenia bermula di Sabah, teknik fermentasi dan 'rehat' rahsia roti lembut
MENARIK DIBACA: Kenapa mi goreng Sabah berbeza? Ini resipi asli untuk anda cuba
Menurutnya, tak perlu bimbang tentang kehadiran semut kerana siraman dilakukan pada waktu pagi sebelum pokok disiram sekali lagi dengan air biasa pada sebelah petang.
Katanya lagi, penggunaan belacan dilihat sebagai alternatif yang lebih praktikal berbanding air ikan yang sering digunakan sebagai baja organik kerana baunya tidak terlalu kuat.
"Kalau kawasan kampung OK la. Kalau perumahan busuk dan berbau. Saya dah try. Risau mengganggu jiran," jelasnya.

Perkongsian ringkas itu ternyata mendapat perhatian ramai netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing menggunakan bahan berasaskan makanan laut untuk menyuburkan tanaman.
"Yes memang boleh. Kalau boleh buat satu bahagian belacan dan satu bahagian gula Melaka. Lepas tu gunakan sekitar 15ml untuk satu liter air, buat semburan.
"Owh, patutlah hari tu beli pokok ros, dia jual baja udang ke apa tak pasti, bau macam belacan.
"Bunga pun suka belacan," antara komen netizen.