Cara masak nasi guna 'microwave'... Jimat masa, dah tak perlu bersusah sental periuk
MENCUCI periuk dengan kerak nasi adalah satu tugas renyah dan melecehkan bagi kebanyakan individu.
Bahagian dalam permukaan periuk yang mempunyai nasi keras dan melekat padanya perlu direndam terlebih dahulu sebelum boleh disental dan kadang-kadang ia memerlukan lebih dari sekali cucian.
Situasi ini membuatkan proses membersihkan periuk 'makan masa' terutama sekali buat mereka yang mahu menyelesaikan segera tugas-tugas membersih dan mengemas dapur.
Seorang wanita berkongsi kaedah mudah memasak nasi menggunakan ketuhar atau 'microwave' yang menarik perhatian ramai di laman Threads.
Menurutnya, idea tersebut diperoleh daripada perkongsian warganet lain di laman berkenaan sebelum dia sendiri mencubanya dan mendapati ia sangat memudahkan urusan harian terutama bagi mereka yang mempunyai masa terhad.
Dia turut berpuas hati kerana kaedah tersebut bukan sahaja menjimatkan masa malah menghasilkan nasi yang lembut dan tidak berkerak.

"Terima kasih akak Threads yang ajar cara masak nasi guna 'microwave'. Dah tak perlu rendam periuk lagi untuk hilangkan kerak nasi," katanya.
Tambahnya lagi, penggunaan teknologi dapur moden seperti 'microwave' dan 'air fryer' kini banyak membantu memudahkan kerja memasak harian untuk dirinya.
"Sekarang semua benda aku 'microwave', 'defrost' lauk, telur separuh masak, nasi semua aku 'tauk' (campak) dalam 'microwave'. Yang goreng-goreng 'tauk' dalam 'air fryer', indahnya technologi!" tulisnya.
Dalam perkongsian sama, wanita itu turut mengajar cara-cara memasak nasi menggunakan 'microwave'.
Menurutnya, ketuhar perlu ditetapkan pada suhu sederhana (medium) dengan tempoh memasak selama kira-kira 15 minit bergantung kepada jumlah nasi yang ingin disediakan.
Bagaimanapun, dia menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam pemilihan bekas memasak.
MENARIK DIBACA: Bosan makan nasi? Boleh cuba buat bubur kanji berlemak, dijamin tak cukup semangkuk
MENARIK DIBACA: Makan 5 biji telur seminggu mampu kurangkan risiko Alzheimer - Kajian
Bekas plastik biasa tidak sesuai digunakan kerana tidak tahan suhu tinggi dan berbahaya jika tiada label 'microwave-safe'.
“Jangan guna plastik biasa ya. Saya guna bekas yang memang boleh masuk 'microwave' dan boleh juga digunakan untuk kukus. Tapi selalunya saya guna bekas kaca yang tahan 'oven',” jelasnya.
Kongsi wanita itu lagi, saiz bekas yang digunakan juga bergantung kepada jumlah individu.
“Biasanya saya masak sikit saja sebab tinggal seorang jadi mangkuk pun kecil,” katanya.
Menurutnya lagi, kaedah ini sangat sesuai untuk individu yang tidak menggemari nasi berkerak atau mereka yang hanya mahu memasak dalam kuantiti kecil untuk sekali hidangan menjadikan proses memasak lebih cepat, ringkas dan praktikal.