Tak perlu bahan mahal... Air garam jadi rahsia chicken chop, grill lebih juicy!
HIDANGAN chicken grill atau chicken chop yang lembut dan berjus sememangnya menjadi idaman ramai penggemar makanan barat.
Sebenarnya, terdapat satu teknik mudah yang sering digunakan di dapur profesional namun jarang didedahkan kepada orang ramai.
Lebih menarik, teknik ini tidak memerlukan sebarang bahan tambahan mahal atau rahsia istimewa.
Menurut perkongsian seorang peniaga makanan dikenali sebagai Noor Irwan Shah atau Mr. Pok Wan di Threads, lelaki itu berkongsi rahsia untyuk mendapatkan tekstur chicken grill atau chicken chop yang lebih berjus dan lembut dengan menggunakan dua bahan sahaja.

"Nak bagi chicken Grill atau chocken chop lebih juicy tanpa tambah bahan lain?
"Guna air garam. Ya, air dan garam.
"Rendam ayam dalam air yang dicampur sedikit garam selama 30 minit hingga 2 jam sebelum perap," kongsinya.
MENARIK DIBACA: [V] Ikut bapa berniaga sejak kecil, Donna Muslim sambung bisnes popia keluarga
MENARIK DIBACA: Viral ikan disumbat dalam sotong, PHM nasihat pengguna jangan cepat tuduh penjual menipu
Ujar Irwan, teknik tersebut dikenali sebagai 'brining', iaitu proses merendam ayam di dalam larutan air garam sebelum diperap dan dimasak.
Melalui kaedah ini, ayam akan menyerap sebahagian air garam ke dalam struktur daging.
Hasilnya, daging mampu mengekalkan lebih banyak kelembapan ketika proses memasak berlaku.
Sebab itulah ayam yang melalui proses brining selalunya masih terasa lembut, berjus dan tidak kering walaupun dimasak sempurna.
Malah teknik ini sebenarnya sangat mudah untuk dilakukan di rumah.

"Bagi setiap satu liter air, campurkan kira-kira tiga sudu besar garam atau sekitar 35 hingga 40 gram garam.
"Nisbah ini bersamaan sekitar tiga hingga empat peratus kandungan garam dalam larutan.
"Gunakan air suhu bilik atau air sejuk sebelum merendam ayam selama 30 minit sehingga dua jam bergantung kepada saiz potongan ayam," jelasnya.
Selepas proses rendaman selesai, toskan ayam dan biarkan sedikit kering sebelum disapu dengan dry rub atau pes perapan pilihan.
"Langkah ini bukan sahaja membantu ayam mengekalkan kelembapan, malah membolehkan rempah dan perapan melekat dengan lebih baik pada permukaan daging. Cubalah!" katanya.